Monday, October 31, 2011

[UMNO = KOMUNIS] = KOMEDI


Topik ini meletus apabila Mat Sabu mengeluarkan pendapatnya mengenai peristiwa Bukit Kepong. Bagi sesiapa yang belum tonton, klik sini. Rentetan itu, keluarlah 1001 cerita mengenai Komunis, Pejuang Kemerdekaan dan segala pendapat dan fakta, diantaranya datang dari sahabat-sahabat yang bencikan subjek sejarah.

Kemudian para cerdik pandai pula berkelahi, Prof. Abdul Aziz Bari pula menegaskan UMNO adalah Komunis. Sebagai seorang ahli intelek, beliau mengemukakan dalil-dalil beliau untuk menyokong hujah beliau. klik sini bagi menonton hujahnya.

Dalam masa sebulan isu ini menjadi sensasi, UMNO pada mulanya dilabel oleh Mat Sabu sebagai barua British, tetapi disangkal Prof. Aziz Bari dengan mengatakan UMNO sebenarnya orang Komunis. Siapa benar? Siapa salah?

Memandangkan tajuk saya berkaitan UMNO dan Komunis, mari kita lihat apa yang mengaitkan UMNO dengan Komunis, sepertimana yang dihuraikan oleh Professor Abdul Aziz Bari.

Ini adalah hujah beliau:

1. Pada tahun 1976, Datuk Abdullah Ahmad (Timbalan Menteri Sains & Teknologi), Abdullah Majid (Timbalan Menteri Buruh) serta Abdul Samad Ismail (Ketua Pengarang NST) di tahan di bawah Akta Keselamatan Negeri dan ditahan sehingga tahun 1981. Kedua-dua Timbalan Menteri berikut merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Ini pautan berita untuk kes ini.

2. Pada 1979, Siddiq Ghouse, Setiausaha Politik Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir, agen KGB Soviet Union, ditahan bersama Dr. Syed Husin Ali, Senator dan bekas Timbalan Presiden PKR serta Presiden Parti Rakyat Malaysia. Dr. Syed Husin diminta untuk mengaitkan Tun Dr. Mahathir dan Tun Musa Hitam sebagai terbabit oleh Polis Cawangan Khas untuk kepentingan politik Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tun Ghazali Shafie.

3. 1989, Kerajaan Malaysia menandatangani Rundingan Damai Haadyai dengan Parti Komunis Malaya. Kalau Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf kewujudan Parti Komunis Malaya, mengapakah kerajaan menandatangi perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya?

Berdasarkan dalil-dalil di atas, beliau menyatakan UMNO sebenarnya Komunis. Ini adalah fakta buat beliau.

Ini pula pendapat saya:

1. Kesemua pihak yang terlibat di tangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas arahan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie, yang juga ahli UMNO, dengan menggunakan akta yang digubal oleh Parlimen yang disertai UMNO dan Kerajaan (Eksekutif) yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO. Adakah wajar, UMNO dituduh sebagai sebuah organisasi komunis apabila hanya beberapa ahli yang terlibat, berbanding jutaan ahli UMNO lain yang tidak sama sekali menyokong Komunis? Jelas tidak sama sekali.

Jika UMNO adalah penyokong kuat Komunis, tangkapan ini tidak akan berlaku sama sekali.

2. Siddiq Ghouse, aadalah pengintip KGB pada kapasiti peribadinya. Ini tidak bermakna kesemua ahli UMNO adalah agen KGB. Jika UMNO pada keseluruhannya adalah agen atau proksi KGB, sudah tidak perlu bagi KGB untuk menghantar pengintip jika Perdana Menteri dan menteri-menteri UMNO adalah orang KGB. Tidak logik bagi beliau untuk mencadangkan bahawa KGB menghantar pengintip mengintip orangnya sendiri.

Sebagai contoh, pada tahun 1930'an, Harry Dexter White, Timbalan Setiausaha Perbendaharaan Amerika pada era pentadbiran Presiden Franklin Delano Roosevelt, individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Perjanjian Bretton Woods, sebuah perjanjian yang menjadi asas kepada ciptaan International Monetary Fund (IMF) dan badan-badan kewangan lain, merupakan agen KGB dengan nama samaran "Ruble"

Penglibatan dan pengkhianatan Harry Dexter White dalam KGB dan kepada Amerika Syarikat tidak sama sekali menyebabkan Presiden Franklin Roosevelt mahupun Parti Demokrat di label sebagai orang "komunis" seperti apa yang dihujahkan oleh Professor Abdul Aziz Bari.

Hal ini, hanyalah isu terpencil. Jika logik itu digunapakai, Tahniah! Anda baru sahaja mengkomuniskan penyelamat sistem Kapitalis dunia dan mengkomuniskan negara ulung kapitalis dunia.

3. Kerajaan tidak pernah mengiktiraf kesahihan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai entiti sah dari aspek undang-undang Malaysia. Itu tidak bermakna kerajaan tidak mengiktiraf ancaman PKM kepada keselamatan negara, yang meragut ribuan nyawa dan menelan kos jutaan ringgit. Kerajaan yang berfikiran waras sudah tentu akan berusaha untuk menamatkan kemelut bersenjata yang merugikan pelbagai pihak.

Sebagai contoh, kerajaan yang sama tidak sama sekali mengiktiraf kewujudan Israel sebagai sebuah negara yang sah. Tindakan itu tidak menafikan hakikat kerajaan Israel wujud dan berpusat di Tel Aviv, dan Malaysia mengharamkan rakyatnya kesana seperti tercatat dalam buku pasport kita.
Professor Abdul Aziz Bari turut juga mengaitkan lawatan bersejarah Tun Abdul Razak ke negara China pada 28 Mei 1974 sebagai buti kukuh UMNO adalah komunis sebenar di negara ini. Sebelum saya hurai secara lanjut, mari kita lihat satu senario;

Abu mempunyai dua orang anak, Hasan & Huda nama mereka. Abu berjiran dengan Matthew, pengikut ajaran agama Majusi yang menyembah api serta peniaga yang menjual barangan runcit.

Abu, selalu meluangkan masa bersama jiran dan sahabatnya Matthew. Hasan pula selalu ke kedai Matthew untuk membeli barang. Huda pula ditangkap menyembah api bersama Matthew.

Siapa dalam senario ini telah menjadi pengikut ajaran majusi? Abu, Hasan atau Huda? Hubungan Abu dan Hasan dengan Matthew hanyalah sekadar berkawan dan berdagang. Tidak pula mereka terpengaruh dengan ajaran majusi dan masih lagi beragama Islam. Huda pula, semestinya terpengaruh dengan ajaran majusi.

Begitu juga dengan lawatan Tun Abdul Razak ke China, tak lebih dari lawatan seorang kawan dan peniaga dari Malaysia. Sebelum pergi ke China dan setelah pulangnya Tun Abdul Razak ke Malaysia, negara ini masih lagi mengamalkan demokrasi, membenarkan pelbagai parti wujud, membenarkan rakyatnya beragama dan paling mustahak, masih lagi berperang dengan gerila Parti Komunis Malaya, musuh kepada kerajaan demokrasi berdaulat pilihan rakyat sehinnga tahun 1989, di mana Perjanjian Damai Hadnyai ditandatangani, dan hingga sekarang, Chin Peng tidak dibenarkan memasuki Malaysia. Kata seorang kawan, "kalau UMNO tu Komunis, Chin Peng dah pun ada dalam Malaysia".



Lawatan Tun Razak tidaklah mengejutkan, jika kita lihat pada rekod sejarah.

Richard Nixon, Presiden Amerika Syarikat, melawat China pada tahun 1972.

Georges Pompidou, Presiden Perancis, melawat China pada tahun 1973.

Elizabeth II, Ratu Britain, melawat China pada tahun 1986.

Nicolas Sarkozy, Presiden Perancis, sudah 6 kali melawat China sebagai ketua negara tersebut.

Amerika Syarikat, Britain, & Perancis masih lagi negara kapitalis dan masih lagi negara demokrasi, dan rakyatnya tidak pula menuduh pemimpin mereka sebagai "komunis" hanya dengan lawatan diplomatik yang dibuat oleh pemimpin mereka ke negara Tembok Besar itu.

Professor Abdul Aziz Bari tidak seharusnya mengabaikan hakikat dan fakta bahawa Malaysia telah pun menjadi ahli Non Aligned Movement, atau pertubuhan negara berkecuali pada tahun 1970. Ini menjadikan Malaysia antara negara yang bebas dari pengaruh NATO atau Warsaw Treaty. Dengan pendirian berkecuali inilah, Malaysia menjalankan hubungan diplomatik dengan negara-negara komunis seperti China, Vietnam, dan Cuba.

Lawatan Tun Razak pada tahun 1974 bukanlah untuk mengimport komunisme di Malaysia (kalau perlu, minta sahaja pada Chin Peng) tetapi untuk mengatakan kepada Barat bahawa Malaysia bebas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja yang kita mahu tanpa mengikut telunjuk Barat.


Ini merupakan satu perubahan besar dari persepsi awal dunia kepada Malaysia sebagai entiti imperialis ciptaan Britain untuk menentang komunisme di Asia Tenggara. Ini merupakan pendapat Presiden Soekarno apabila Malaysia ditubuhkan.

Fakta yang saya ketemui dan kesimpulan yang saya dapat sangat jauh sekali dari kesimpulan yang dibuat oleh Professor Abdul Aziz Bari. Jika UMNO benar-benar parti komunis, sudah tidak ada demonstrasi bersih kerana tiada lagi pilihanraya di negara ini.

Hari ini, Malaysia menikmati hasil persahabatan dan perdagangan dengan China, dengan pelbagai pertukaran teknologi, buruh, dan juga import barang yang murah. Itu tidak menjadikan kita sebagai orang komunis bukan? Hari ini, barangan buatan China memenuhi pasaraya di seluruh dunia, dari New York hinggalah ke Dubai.

Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengutuk ugutan yang dibuat terhadap Professor Abdul Aziz Bari.

Thursday, October 27, 2011

JAIS & DUMC: Lain Yang Cuai, Lain Yang Dipersalahkan.



Kelakar sungguh saya lihat apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Damansara Utama Methodist Church (DUMC), kedua-dua belah pihak, biar dari BN, mahupun PR, sibuk menunding jari dan menyalahkan satu sama lain. Sudah adat politik untuk menjadi juara setiap isu.

Banyak individu menyalahkan Barisan Nasional, terutamanya UMNO apabila kejadian ini berlaku, sedangkan hal ehwal agama Islam terletak di dalam pentadbiran kerajaan negeri. Ini boleh dilihat di dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, Perkara Pertama di dalam Senarai Negeri. Jadi hal ini sememangnya didalam kawalan penuh Kerajaan Selangor Pakatan Rakyat, dengan Dr. Hasan Ali, melalui portfolionya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, bertanggung jawab memantau pentadbiran dan penguatkuasaan JAIS.

Pada 3 Ogos 2011, JAIS telah menjalankan operasi di DUMC, JAIS memanggilnya pemeriksaan, DUMC memanggilnya pencerobohanan, penghinaan dan sebagainya. Agak pelik melihat reaksi DUMC yang menganggap sebuah pemeriksaan biasa sebagai "sacrilegious", atau penghinaan kepada golongan Kristian sedangkan ianya hanyalah makan malam muhibbah dan bukannya aktiviti keagamaan.

Seperti mana yang ditegaskan oleh pihak DUMC, ianya hanyalah sebuah makan malam, seperti apa yang dipetik dari Tan Sri Zaman Khan, Pengerusi Malaysian AIDS Council yang jelas mengatakan ianya sebuah majlis makan malam untuk memungut dana bagi 'Harapan Komuniti', sebuah entiti yang membantu rakyat Malaysia yang dijangkiti HIV. Menurut beliau, majlis itu hanyalah '1Malaysia Muhibbah Fundraising Dinner'.

Pastor Daniel Ho, dalam satu petikan dalam Free Malaysia Today, 12 Ogos 2011, mengatakan majlis itu sebagai majlis makan malam "thanksgiving". Beliau juga berkata, JAIS mencerobohi majlis di dalam sebuah dewan di Dream Center, yang turut mengandungi sebuah gereja, yakni DUMC. Jadi, JAIS ceroboh sebuah dewan makan malam atau sebuah gereja yang sedang berlangsung majlis keagamaan? Kenapa kenyataan Pastor Daniel Ho dan Tan Sri Zaman Khan bercanggah?

Kemudian, tersebar pula video di Youtube yag menunjukkan rakaman operasi pada malam tersebut, lihat video ini. Kenapa pula sebuah majlis amal, atau majlis makan malam, mahupun majlis "thanksgiving" perlu disajikan dengan pengakuan murtad seseorang? dan bukannya ucapan berkaitan pencegahan AIDS atau apa-apa aktiviti yang bertepatan dengan majlis makan malam mengumpul dana?

Jadi, siapa yang bercakap benar? Kalaulah ada kenduri di masjid, dan polis datang membuat pemeriksaan, adakah ianya satu penghinaan kepada Islam? Tidak! Polis hnaya menjalankan tugas dan tiada masalah kalau kita memberikan kerjasama. Jadi kenapa ramai yang melatah dalam isu ini? Ada yang ditembak? Kedatangan JAIS pada sebuah majlis makan malam bukanlah sesuatu yang menjurus kepada sekatan kepada kebebasan beragama. Lagipun ianya majlis makan.

Rentetan kemelut ini, Dr. Hasan Ali, membela tindakkan JAIS, telah dipanggil oleh PAS untuk memberikan penjelasan beliau. PAS juga telah meminta sebuah pertemuan diatur antara JAIS dan DUMC, dengan Mat Sabu mengetuai inisiatif tersebut. Malang sekali tidak ada pihak yang pakar dalam undang-undang yang ingin mengulas kesahihan tindakan PAS Pusat memanggil JAIS, sebuah agensi Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi penjelasan. Adakah ini wajar menurut undang-undang pentadbiran? Pada hemat saya, JAIS hanya bertanggung jawab kepada Sultan Selangor, Menteri Besar Selangor, Exco berkenaan dan Dewan Undangan Negeri Selangor sahaja. Musykil sungguh saya lihat campur tangan PAS dalam pentadbiran negeri. Mereka dilihat seperti tidak mempercayai Dr. Hasan Ali, ahli parti mereka sendiri.

Surat Khabar The Star, dalam artikelnya berjudul "Selangor MB: Full Jais report expected end September" telah menjanjikan laporan tersebut akan dikeluarkan pada akhir September setelah keterangan diambil dari pihak-pihak yang terlibat.

Tiba waktu dan ketika dijanjikan, dimana laporan tersebut telah diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim beliau menjanjikan makluman berkaitan kes ini akan dibuat beliau selepas lawatan Yang Di Pertuan Agong. Nampaknya seperti Kerajaan Negeri cuba elak dari menguruskan isu ini sendiri dengan meminta campur tangan istana melalui meminta campur tangan Sultan dalam isu ini. Saya berpendapat sedimikian kerana, isu ini sangat tidak popular, dan Kerajaan Negeri akan kehilangan undi pelbagai pihak jika hal ini tidak di atasi dengan baik. Menteri Besar dan Exco perlu melalui pilihanraya, DYMM Sultan Selangor tidak. Ini laluan paling selamat.

Ianya sangat pelik, memandang pada 1 April 2011, Dewan Undangan Negeri Selangor telah meluluskan "Freedom of Information Enactmen 2010", sebuah rang undang-undang yang memberi kebebasan untuk mendapatkan maklumat dari kerajaan negeri. Ini adalah sebahagian dari janji Pakatan Rakyat untuk mewujudkan kerajaan yang telus. Kenapa tiada sesiapa memohon Kerajaan Negeri mendedahkan laporan JAIS sepertimana diperuntukkan oleh enakmen ini? Tak sampai setahun, kenapa sudah dilupakan kewujudan dan tujuan enakmen ini?

Apabila DYMM Sultan Selangor memberikan titahnya berkaitan isu ini, institusi beraja telah pun dilibatkan dalam kancah percaturan politik Selangor. Baginda terpaksa menjadi penentu. Mana-mana penentu, atau hakim, akan mempunyai pengkritik dalam keputusan yang dibuat. Baginda Tuanku nampaknya tidak terkecuali.

Saya sependapat dengan Professor Aziz Bari, yang mengatakan titah Sulttan sebagai "luar biasa" kerana Baginda seharusnya menjadi pihak yang berkecuali. Tetapi siapakah yang harus dipersalahkan? Mana perginya Kerajaan yang dilantik oleh rakyat dalam PRU12 lalu? Kenapa diam? Adakah Pakatan Rakyat hanya gemar menjuarai isu yang popular sahaja? Mana perginya amanah terhadap tanggungjawab yang diberikan?


Berdasarkan keratan laporan diatas, Pengerusi Christian Federation of Malaysia, Bishop Ng Moon Hing memohon campur tangan Baginda dalam hal ini. Sayang sekali Professor Abdul Aziz Bari tidak sempat menasihati Bishop Ng Moon Hing yang permintaan beliau tidak sesuai dalam konsep negara perlembagaan.

Antara isu yang bermain didalam isu ini ialah;

1. Mengapakah Kerajaan Selangor gagal mengawal agensi penguatkuasaannya (JAIS) dengan efektif?

2. Jika JAIS melakukan kesalahan, memandangkan Menteri Besar sudah pun memohon maaf, apakah tindakan selanjutnya? Mengapakah Kerajaan Selangor tidak membayar pampasan dan ganti rugi kepada DUMC?

3. Kenapa Menteri Besar tidak menyelesaikan isu ini sendiri tanpa melibatkan Sultan Selangor? Bayangkan jika Perdana Menteri meminta campurtangan Yang Di Pertuan Agong untuk setiap kes murtad seperti Lina Joy, ataupun apabila rumah-rumah ibadat yang dibina secara haram diruntuhkan. Apa reaksi Pakatan Rakyat?

4. Kenapa enakmen "Freedom of Information" 2010 Selangor tidak digunapakai supaya orang awam boleh melihat sendiri laporan JAIS. Apa yang cuba disembunyikan? Mana perginya Akauntabiliti, Ketelusan yang diperjuangkan?

Jangan salahkan Professor Abdul Aziz Bari yang hanya memberikan pendapat, atau Sultan Selangor yang hanya bertindak mengikut seruan rakyat seperti Bishop Ng Moon Hing dan nasihat serta permintaan Menteri Besarnya. Sudah jelas siapa patut bertanggung jawab dalam isu ini.

Akhir cerita, BN/UMNO juga dipersalahkan. Ada sesiapa yang bakal dipecat untuk kecuaian ini? Hmm..

Scorpene Malaysia: Apa Yang Kita Tak Tahu


Bila ditanya kepada rakan-rakan, dan setelah membaca blog-blog Pakatan Rakyat,
rata-ratanya akan mengaitkan kapal selam kita dengan dua masalah;

1. Harga Kapal Selam Scorpene yang jauh lebih mahal dari belian negara lain.

2. Kapal Selam Scorpene tidak boleh melakukan selaman.

Pertama, mari kita rujuk kepada masalah pertama yang menghantui skandal kapal selam negara kita. Isu harganya. menurut info yang saya petik dari blog AMK Shah Alam, Malaysia telah membayar sebanyak 580 juta dollar (USD) manakala Chile hanya membayar 250 juta dollar (USD) dan India pula membayar 540 juta dollar (USD) untuk setiap Scorpene mereka. Dalam kes ini,, memang nyata pembelian kita paling mahal berbanding negara-negara lain yang membeli kapal selam jenis ini.

Apa yang tidak dinyatakan oleh blog AMK Shah Alam di atas ialah, pada 14 April 2010, Brazil telah menempah 4 buah kapal selam Scorpene dengan harga 8.8 billion dollar(USD) Ini menunjukkan Brazil membayar sejumlah 2200 juta dollar untuk setiap kapal selam mereka. Tidakkah hal ini menceritakan sesuatu buat kita semua?

Apa yang tidak dijelaskan oleh bloggers Pakatan, mengapa kita bayar pada harga tersebut,dan pihak kerajaan pula, tidak berjaya menyampaikan maklumat dengan baik kepada rakyat dengan bahasa mudah yang boleh difahami semua.

Perbezaan garis masa dan kuantiti belian.

Pada waktu ini, hanya 4 buah negara yang membuat belian Kapal Selam Scorpene ini. Negara tersebut ialah Chile, Malaysia, India dan Brazil.

Chile membeli dua buah kapal selam pada sekitar tahun 1998/99 dan harga belian mereka ialah 250 juta dollar.

Malaysia membeli dua buah kapal selam pada sekitar tahun 2003/04 dan harga belian kita ialah 580 juta dollar.

India membeli enam buah kapal selam sama pada sekitar tahun 2006, dan harga belian mereka ialah 540 juta dollar seunit.

Brazil pula membayar sebanyak 2200 juta dollar seunit untuk tempahan sebanyak 4 buah kapal selam tahun lepas.

Pihak Pakatan Rakyat tidak menjelaskan disebalik dakwaan mereka, perbezaan faktor-faktor seperti kadar tukaran wang asing pada waktu pembelian di buat, harga kos bahan mentah, jenis persenjataan dan lain-lain kos yang terlibat.

Kos pembelian kapal selam India juga meningkat kerana wujud kelewatan dan masalah di pihak Magazon Dock Limited. India dapat menjimatkan kos pembelian mereka melalui pembelian pukal (6 buah, maka kos tetapnya dapat disusutkan) dan mereka membina kapal selam tersebut di India (jimat kos pembuataan dengan memanfaatkan kos buruh rendah India)


Dari jadual harga besi terpakai, kita dapat lihat kenaikkan harga besi dunia. Pada Januari 2000, harga besi ialah 98 Euro per tan, dan kini ianya 317 Euro per tan pada September 2011. Ini harga besi skrap, terpakai dan kitar semula. bayangkan harga besi dan keluli baru yang diperlukan untuk membina sebuah kapal selam baru.

Pada waktu Chile dan Malaysia membuat tempahan kapal selam, perbezaan kos mentah (besi, keluli) telah meningkat lebih dari 100%. Jadi tidak menghairankan perbezaan harga di bayar oleh Malaysia dan Chile. Apa pula pe njelasan Pakatan Rakyat mengenai pembelian Brazil yang jauh lebih mahal.


Jadual di atas pula menunjukkan carta tukaran asing antara Ringgit Malaysia dengan Euro. Euro pada tahun negara menempah kapal selam jauh lebih tinggi berbanding dengan waktu tempahan di buat oleh Chile. India pula membuat pembelian kapal selam mereka pada 2010, pada waktu nilai matawang Euro sangat tinggi. Jadi, ternyata ada justifikasi dan penjelasan munasabah disebalik perbezaan harga.

Kedua, kapal selam Malaysia tidak boleh melakukan selaman. Perkara ini dengan nyata adalah satu salah faham, jika tidak, satu fitnah besar dari pihak yang cuba meraih undi dengan menabur prasangka negatif kepada rakyat.

Kapal selam tersebut telah melakukan selaman dan berjaya melakukan latihan. Bak memiliki kereta baru, kita tidak boleh memandu pada kapasiti maksimum sebaik saja baru keluar dari kedai. Begitu juga dengan kapal selam kita. Kapal selam, seperti mana-mana barang mekanikal lain, tidak boleh lari dari masalah-masalah yang teknikal dan mekanikal.

Sebagai contoh, pada 22 Oktober 2010, Kapal Selam HMS Astute milik United Kingdom terdampar di pesisir pantai dan mengalami kerosakan yang teruk. Ini adalah kapal salam penyerang nuklear tercanggih dan terbaru milik armada tentera United Kingdom dengan nilai 1.57 billion dollar (USD). Jadi, tentera laut United Kingdom pun tak terkecuali dari masalah, apatah lagi negara kita yang baru memiliki dua buah kapal selam sulungnya? Fikir-fikirkanlah
Sekurang-kurangnya, ahli politik Britain cukup matang dan tidak pula mengadu domba mengenai kelemahan angkatan laut negara itu di mana-mana negara, baik jiran mahupun sekutu. Tindakan Nurul Izzah Anwar mendedahkan masalah teknikal kapal selam negara kepada Kompas, Indonesia tidak wajar sama sekali, walaupun ujar beliau sekadar memetik kata-kata Menteri Pertahanan Malaysia di dalam Dewan Rakyat. Jika beliau berakal, dan sensitif kepada isu ini, beliau tidak perlu membuat sebarang penjelasan dan penerangan akan keadaan tentera kita kepada media luar.

Walaupun sedemikian kajian saya, saya sangat mengharap jawapan mengenai tuduhan rasuah berkaitan pembelian kapal selam negara ini terjawab dan dapat jalan penyelesaian yang munasabah. Memandangkan integriti mahkamah negara telah dihancurkan oleh tomahan dan tindakan pelbagai pihak, saya berharap Mahkamah Perancis dapat memberikan jawapan apabila kes rasuah tersebut dibicarakan dan diputuskan oleh mereka.