Tuesday, July 12, 2011

Saya sokong Pilihanraya yang adil, tapi tidak BERSIH

Saya seperti rakyat lain, setuju sepenuh-penuhnya akan keperluan sebuah pilihanraya yang telus, banyak alasan yang boleh saya berikan. Pilihanraya yang telus menjamin pilihan rakyat terjamin dan Parti yang dilantik mendapat mandat yang sewajarnya untuk memerintah negara ini. Tanpa pilihanraya yang telus, kuasa Parti memerintah akan dipertikaikan kesahihannya.

BERSIH, sebuah NGO yang memperjuangkan pilihanraya yang adil, telah mengemukakan 8 tuntutan kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dan merancang sebuah demonstrasi aman pada 9 Julai 2011. Setelah mengamati tuntutan-tuntutan BERSIH, saya rasa ada isu yang dibawakan adalah remeh dan tidak munasabah. Ini jawapan saya.

Tuntutan pertama BERSIH menuntut agar senarai daftar pengundi di bersihkan dari elemen-elemen yang meragukan. Dari kewujudan puluhan pengundi di sesebuah alamat hingga ke alamat yang tidak wujud. Saya setuju dengan tuntutan ini walaupun kurang setuju dengan dakwaan ini adalah punca pilihanraya di Malaysia tidak telus. Ini kerana saya mengalaminya sendiri. Di kediaman lama nenek saya di Padang Tembak, Pulau Pinang, ada lebih dari 20 pengundi. 8 darinya milik arwah atuk, nenek, ibu saya serta 5 orang adik-adiknya. Mereka sudah berpindah tetapi masih lagi layak mengundi kerana tiada perubahan alamat dimaklumkan kepada SPR. Nama arwah atuk saya masih lagi di dalam senarai pengundi kerana kami tidak memaklumkan kepada SPR mengenai kematiannya.

Rumah tersebut disewakan kepada penyewa lain, keluarga kedua, tinggal selama 13 tahun, telah menggunakan alamat rumah tersebut untuk mendaftar sebagai pengundi. Dari 10 penghuni, 8 mendaftar disana. Dari tahun 1990 hingga sekarang, keluarga ketiga seramai 5 orang telah mendaftar sebagai pengundi di alamat yang sama. Kewujudan 21 nama pengundi di rumah tersebut tidak sama sekali menunjukkan penipuan di dalam pilihanraya berlaku. Pada waktu dan ketika ini, ada 20 rakyat, pembayar cukai dan pengundi yang sah. Kesalahan mereka mungkin hanya kerana tidak memberi maklumat terkini mereka. Mereka masih pulang kesana untuk mengundi, walaupun mereka tinggal di tempat lain. Anda boleh semak sendiri dengan SPR dan tanya jiran tetangga jika nama tersebut milik penghuni terdahulu.

Saya sendiri tinggal di Kuala Lumpur hampir 6 tahun , saya masih lagi seorang pengundi yang berdaftar di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Ramai warga kota yang berasal dari Kelantan, akan balik meninggalkan Kuala Lumpur untuk pulang mengundi di Kelantan. Adakah kami semua puaka yang mengundi?

Jikalau BERSIH dapat membukti arwah atuk saya mengundi, itu baru masalah yang serius. Ada desas-desus yang mengatakan ada individu yang memiliki 2 Mykad dan mengundi sebanyak dua kali. Oleh itu, saya gesa BERSIH atau mana-mana rakyat untuk membuat aduan kepada pihak Polis, kerana memiliki 2 Mykad adalah satu masalah dan kesalahan serius serta kesalahan lain yang dilakukan dengan mengundi lebih dari sekali. Kesilapan alamat, usia pengundi, jantina dan sebagainya hanyalah kesilapan manusia. Tiada sistem mahupun manusia yang sempurna, kesilapan berlaku. Sedangkan lidah sendiri boleh tergigit, apatah lagi tersilap tekan keyboard. Ketidak seragaman rekod jabatan Pendaftaran Negara & SPR bukanlah benda baru, sedangkan rekod antara jabatan dan kementerian kebanyakkannya tidak di seragamkan.

Datuk Ambiga, mantan Presiden Majlis Bar Malaysia, patut lebih arif akan beban untuk membukti kesalahan sebenar benar-benar berlaku, dari membuat tuduhan berdasarkan syak wasangka dari ketirisan sistem.

Tuntutan kedua BERSIH menuntut reformasi sistem pengundian melalui pos. Saya bersetuju sepenuhnya dengan tuntutan ini. Semua rakyat Malaysia, tidak mengira di dalam dan di luar, harus di benarkan mengundi. Ini hak seorang rakyat. SPR harus berusaha dan menyediakan ruang untuk melaksanakan hal ini.

Berkaitan dengan undi pos di dalam kem tentera dan pihak polis, undi-undi menjadi pertikaian kerana tiada pemantau di pusat mengundi tersebut. Kelemahan hanya terletak pada sistem, tetapi ianya tidak terbukti ianya benar-benar berlaku (penipuan undi) kerana tiada bukti konkrit. Malahan, undi pos kem tentera di Port Dickson pada tahun 1999 memihak kepada pembangkang. Tiada pula isu penipuan dibangkitkan.

Antara punca pertikaian mengenai kesahihan undi-undi pos oleh anggota beruniform ialah, jumlah undi yang tinggi yang diperolehi Barisan Nasional (BN). Bila kita lihat kempen-kempen Pembangkang yang menghina dan mencaci golongan ini, dari sependek “sial” hingga sepanjang “anjing UMNO”, tidak logik untuk menjangkakan golongan ini untuk memberi mandat kepada Pembangkang.

Tuntutan ketiga BERSIH berkaitan dengan penggunaan dakwat kekal. Isu ini menjadi hangat apabila penggunaannya dibatalkan di saat-saat akhir pilihanraya umum 2008. Ramai membuat andaian ini adalah satu cubaan untuk menyelamatkan kerajaan BN.

Kita harus ingat yang dakwat ini akan dicalit di jari dan ianya kekal selama beberapa jam. Sebagai umat islam, hal ini menyukarkan kerana ianya meyebabkan wudhu’ terbatal dan umat islam di negara ini tidak boleh beribadah jika mereka menunaikan tanggungjawab mereka di dalam pilihanraya. Tambahan pula, tiada pengesahan kehalalan dakwat tersebut.

SPR telah menjanjikan penggunaan sistem biometrik, dimana rekod cap jari di cip Mykad & rekod Jabatan Pendaftaran Negara akan di padankan dengan daftar pemilih SPR. Sistem ini jauh lebih canggih dan mesra penganut Islam di Malaysia. Satu cap jari, satu pengundi! Jauh lebih selamat dan terbukti lebih meyakinkan dari penggunaan dakwat. Tuntutan ini sudah pun tidak munasabah dengan usaha yang dibuat oleh SPR.

Tuntutan ke empat BERSIH meminta tempoh kempen dipanjangkan kepada 21 hari. Relevankah? Sebelum anda menjawab soalan saya,mari lihat hujah saya terlebih dahulu. Pada waktu pilihanraya, kita akan lihat wujudnya pentas ceramah, pekerja kempen dan ahli parti akan mengedarkan risalah bergelar “manifesto” yang dipenuhi janji-janji parti bertanding. Cuba anda tengok balik, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Tian Chua, Azmin Ali dan lain-lain sentiasa mengadakan ceramah. Di dalam ceramah itu, dipujinya diri dan dikutuknya lawan, perkara yang sama dengan Menteri-Menteri BN. Bukankah itu kempen? Bukankah itu pujukkan untuk diundi kelak?

Penyokong tegar Pembangkang dan rakyat jelata serta penyokong BN mungkin pernah mendengar mengenai “Buku Jingga”? Buku yang dipenuhi dengan janji-janji Pembangkang jika mereka mengambil alih kerajaan Pusat? Bukankah itu sebuah “manifesto”? Pembangkang sudah pun melancarkan manifesto tidak rasmi serta siri ceramah/kempen tanpa henti. Jika anda setuju, jadi kenapa dibuat tuntutan karut sebegini? Dan kenapa saya perlu bersetuju? Malah, ianya menyalahi undang-undang pilihanraya kerana mereka dibenarkan berkempen ratusan hari lebih awal. Di sini kita telah diperdaya untuk berdemo untuk sesuatu yang bukan isu.

Tuntutan kelima BERSIH meminta agar media-media yang dibiayai oleh wang cukai rakyat agar memberi ruang kepada semua pihak untuk di dengari. Ini saya sangat bersetuju. Gembira saya lihat Parti-Parti Pakatan Rakyat menyokong tuntutan ini tetapi... ironik. Sudah 8 bulan perhimpunan ini dirancang dan ianya disokong dari hari pertama oleh pakatan pembangkang akan tetapi, adakah TV Selangor, Selangorkini dan Buletin Mutiara, yang dibuat menggunakan duit cukai rakyat memberi ruang yang sama kepada BN?

Pihak yang tidak bersetuju pantas akan menunjukkan kegagalan RTM1,RTM2 dan media-media lain bawah kawalan BN yang bertindak sama. Isu pokoknya, kalau Pakatan Rakyat (PR) berperangai macam BN, kenapa saya perlu ubah? Jika BN buat salah, tak bermakna “halal” untuk PR untuk melakukan perkara yang sama. Kerajaan Pakatan Rakyat juga menafikan akses media bebas dengan melarang TV3, Utusan dan sebagainya membuat liputan. Kenapa ada kebebasan ber”had” yang dikenakan PR walaupun di dalam manifesto mereka, sebaliknya dikatakan.

Lebih ironi, respon SPR mengenai tuntutan BERSIH tidak pula dipaparkan di dalam laman web BERSIH.

Tuntutan ke enam BERSIH menuntut agar Institusi Awam seperti Badan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis diperkasakan, begitu juga dengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.

Pada pendapat saya, institusi ini berfungsi dengan baik. Mahkamah Tinggi membenarkan Gereja menggunakan kalimah Allah, Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar Ibrahim, Mahkamah Tinggi melindungi Malaysiakini dari saman Taib Mahmud yang bertujuan menyekat Malaysiakini dari menyiarkan artikel yang negatif untuknya. Pada masa yang sama, Mahkamah memutuskan tindakan Sultan Perak, bekas ketua hakim negara sebagai sah, dan lain – lain kes menunjukkan sistem ini masih telus.

Tindakan Pendakwaraya mendakwa Tun Ling Leong Sik & Tan Sri Chan Kong Choy dalam skandal PKFZ, mendakwa Tan Sri Kasitah Gaddam mengenai rasuah dan kes Datuk Seri Khir Toyo serta sebagainya menunjukkan mereka masih lagi berfungsi. Rasuah adalah satu jenayah yang sangat sukar untuk dibuktikan, dan mereka juga, seperti individu lain, mempunyai justifikasi dan hujah pembelaan yang perlu diambil kira oleh mahkamah.

Tindakan pihak-pihak tertentu memburukkan institusi-institusi ni melampau-lampau membuktikan masalah ini lebih kepada persepsi dari masalah sebenar. Contoh yang baik, Anwar Ibrahim mendakwa Presiden Pas, Datuk Seri Hj Abdul Hadi di layan buruk polis, sedangkan tuan tubuh memuji pihak polis dan turut sama berterima kasih. Siapa benar? Siapa menipu? Persepsi awam sedikit sebanyak akan dipengaruhi oleh hal ini.

Pembangkang, yang menyokong isu ini harus membawa dan menuntut perkara ini di Dewan Rakyat, selaras dengan kemampuan mereka sebagai wakil rakyat, bukan berdemo. Ini kerana mereka mempunyai ruang yang sesuai untuk bertanya, mendapatkan jawapan dan penerangan sewajarnya. Kenapa mereka tidak membantu BERSIH dengan membawa hal ini ke Parlimen? Ini seperti menyahihkan BERSIH adalah topeng kepada Pakatan Rakyat.

Tuntutan Ketujuh BERSIH menuntut agar pilihanraya diadakan dalam keadaan bebas rasuah. Ini sangat melucukan kerana BERSIH sendiri didakwa merasuah rakyat untuk datang hadir ke perhimpunan itu.

Banyak bukti menunjukkan kedua-dua belah pihak membayar pengundi untuk mengundi. Cerita pasal BN banyak, tapi tidak kurang dengan PAS membayar pengundi Manek Urai, PKR membayar pengundi di Sarawak.

Kedua-dua parti menabur janji yang tidak beretika di dalam pilihanraya. BN “bersalah” kerana tidak menyokong BERSIH tetapi PR, penyokong kuat BERSIH turut jua terlibat dengan aktiviti tak bermoral ini.

Berjalan-jalan disekitar Kuala Lumpur beramai-ramai tidak menyelesaikan masalah ini. BERSIH harus mengumpul bukti dan mendedahkannya dengan lebih efektif, tanpa memilih pihak.

Tuntutan Kelapan BERSIH, membuatkan saya terfikir, “baru lahir” atau “berfikiran kebudak-budakkan” agaknya untuk meminta politik kotor berhenti di Malaysia. Video Klip VK Linggam, gambar photoshop Najib bersama Altantuya, fitnah sana-fitnah sini hinggalah Video Aksi Anwar Ibrahim, di terjahkan kepada masyarakat. Pihak yang mengetengahkan hal ini mendakwa ianya adalah benar dan untuk kebaikkan masyarakat. Adakah BERSIH memperlekehkan kemampuan rakyat untuk menilai baik-buruk cerita-cerita ini sendiri dengan akal fikiran mereka? Tuntutan ini lebih kepada untuk menyelamatkan karier politik Anwar Ibrahim yang tercemar teruk dengan skandal video seksnya. Kenapa BERSIH diam apabila Chua Soi Lek di aibkan? Pada hemat saya, kedua-dua video adalah sahih, Cuma Chua Soi Lek cukup berani untuk mengaku dan mengambil tanggung jawab dengan berhenti dari jawatan Menteri yang disandangnya.

Adakah salah mendedahkan keburukkan sesorang yang bakal dilantik untuk menentukan masa depan Malaysia? BERSIH tidak berhak menafikan rakyat Malaysia hak untuk mengetahui baik buruk pemimpin mereka. Ini adalah faktor penting untuk memilih calon yang berkelayakkan.

Tujuan asal BERSIH berdemonstrasi ialah untuk menyerahkan memorandum mengenai lapan tuntutan tersebut kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong, kenapa Datuk Ambiga tidak menyerahkan memorandum tersebut kepada Baginda? Kenapa tidak dihantar saja melalui wakil? Daripada membuat demonstrasi jalanan yang ternyata merisaukan pelbagai pihak dan merugikan golongan penjaja di Kuala Lumpur, kenapa tidak dikumpul saja tanda tangan di dalam petisyen?

Bagi sebuah perhimpunan yang dilabel Kerajaan BN sebagai haram, Kerajaan telah banyak bertolak ansur dengan membenarkan mereka berdemonstrasi di stadium luar Kuala Lumpur. Kenapa Kerajaaan Selangor PR meletakkan pelbagai syarat dan kenapa mereka tidak boleh mengerti yang demonstrasi itu menyusahkan pelbagai orang, walaupun ianya di iringi pihak polis.

BERSIH tida dapat menjamin keselamatan demonstrasi itu. Apa jaminan mereka dapat mengawal tindak tanduk setiap ahli mereka? Tangkapan polis menunjukkan ada yang ekstrem dan berbahaya. Berparang dan berbom petrol. Ini memang meresahkan rakyat.

Saya hairan kenapa BERSIH tidak cuba berunding terlebih dahulu dengan SPR mahupun Kerajaan? Yang saya nampak, ianya dijadikan tali pengukur kekuatan politik, serta jadi pelaris untuk berkempen kelak. Yang pasti, tindakan cuai BERSIH telah menyebabkan ada yang kehilangan wang, nyawa dan harta benda. Mimpi ngeri 9 Julai 2011 takkan berlaku kalau BERSIH lebih cekap bertindak tanpa dipengaruhi pihak berkepentingan. Yang pasti, janji BERSIH pada Baginda Tuanku telah pun dimungkiri dan kita Rakyat disuap persepsi negatif yang nyata putar belit.

+gambar dipetik dari Malaysiakini+