Monday, October 31, 2011

[UMNO = KOMUNIS] = KOMEDI


Topik ini meletus apabila Mat Sabu mengeluarkan pendapatnya mengenai peristiwa Bukit Kepong. Bagi sesiapa yang belum tonton, klik sini. Rentetan itu, keluarlah 1001 cerita mengenai Komunis, Pejuang Kemerdekaan dan segala pendapat dan fakta, diantaranya datang dari sahabat-sahabat yang bencikan subjek sejarah.

Kemudian para cerdik pandai pula berkelahi, Prof. Abdul Aziz Bari pula menegaskan UMNO adalah Komunis. Sebagai seorang ahli intelek, beliau mengemukakan dalil-dalil beliau untuk menyokong hujah beliau. klik sini bagi menonton hujahnya.

Dalam masa sebulan isu ini menjadi sensasi, UMNO pada mulanya dilabel oleh Mat Sabu sebagai barua British, tetapi disangkal Prof. Aziz Bari dengan mengatakan UMNO sebenarnya orang Komunis. Siapa benar? Siapa salah?

Memandangkan tajuk saya berkaitan UMNO dan Komunis, mari kita lihat apa yang mengaitkan UMNO dengan Komunis, sepertimana yang dihuraikan oleh Professor Abdul Aziz Bari.

Ini adalah hujah beliau:

1. Pada tahun 1976, Datuk Abdullah Ahmad (Timbalan Menteri Sains & Teknologi), Abdullah Majid (Timbalan Menteri Buruh) serta Abdul Samad Ismail (Ketua Pengarang NST) di tahan di bawah Akta Keselamatan Negeri dan ditahan sehingga tahun 1981. Kedua-dua Timbalan Menteri berikut merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Ini pautan berita untuk kes ini.

2. Pada 1979, Siddiq Ghouse, Setiausaha Politik Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir, agen KGB Soviet Union, ditahan bersama Dr. Syed Husin Ali, Senator dan bekas Timbalan Presiden PKR serta Presiden Parti Rakyat Malaysia. Dr. Syed Husin diminta untuk mengaitkan Tun Dr. Mahathir dan Tun Musa Hitam sebagai terbabit oleh Polis Cawangan Khas untuk kepentingan politik Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tun Ghazali Shafie.

3. 1989, Kerajaan Malaysia menandatangani Rundingan Damai Haadyai dengan Parti Komunis Malaya. Kalau Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf kewujudan Parti Komunis Malaya, mengapakah kerajaan menandatangi perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya?

Berdasarkan dalil-dalil di atas, beliau menyatakan UMNO sebenarnya Komunis. Ini adalah fakta buat beliau.

Ini pula pendapat saya:

1. Kesemua pihak yang terlibat di tangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas arahan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie, yang juga ahli UMNO, dengan menggunakan akta yang digubal oleh Parlimen yang disertai UMNO dan Kerajaan (Eksekutif) yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO. Adakah wajar, UMNO dituduh sebagai sebuah organisasi komunis apabila hanya beberapa ahli yang terlibat, berbanding jutaan ahli UMNO lain yang tidak sama sekali menyokong Komunis? Jelas tidak sama sekali.

Jika UMNO adalah penyokong kuat Komunis, tangkapan ini tidak akan berlaku sama sekali.

2. Siddiq Ghouse, aadalah pengintip KGB pada kapasiti peribadinya. Ini tidak bermakna kesemua ahli UMNO adalah agen KGB. Jika UMNO pada keseluruhannya adalah agen atau proksi KGB, sudah tidak perlu bagi KGB untuk menghantar pengintip jika Perdana Menteri dan menteri-menteri UMNO adalah orang KGB. Tidak logik bagi beliau untuk mencadangkan bahawa KGB menghantar pengintip mengintip orangnya sendiri.

Sebagai contoh, pada tahun 1930'an, Harry Dexter White, Timbalan Setiausaha Perbendaharaan Amerika pada era pentadbiran Presiden Franklin Delano Roosevelt, individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Perjanjian Bretton Woods, sebuah perjanjian yang menjadi asas kepada ciptaan International Monetary Fund (IMF) dan badan-badan kewangan lain, merupakan agen KGB dengan nama samaran "Ruble"

Penglibatan dan pengkhianatan Harry Dexter White dalam KGB dan kepada Amerika Syarikat tidak sama sekali menyebabkan Presiden Franklin Roosevelt mahupun Parti Demokrat di label sebagai orang "komunis" seperti apa yang dihujahkan oleh Professor Abdul Aziz Bari.

Hal ini, hanyalah isu terpencil. Jika logik itu digunapakai, Tahniah! Anda baru sahaja mengkomuniskan penyelamat sistem Kapitalis dunia dan mengkomuniskan negara ulung kapitalis dunia.

3. Kerajaan tidak pernah mengiktiraf kesahihan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai entiti sah dari aspek undang-undang Malaysia. Itu tidak bermakna kerajaan tidak mengiktiraf ancaman PKM kepada keselamatan negara, yang meragut ribuan nyawa dan menelan kos jutaan ringgit. Kerajaan yang berfikiran waras sudah tentu akan berusaha untuk menamatkan kemelut bersenjata yang merugikan pelbagai pihak.

Sebagai contoh, kerajaan yang sama tidak sama sekali mengiktiraf kewujudan Israel sebagai sebuah negara yang sah. Tindakan itu tidak menafikan hakikat kerajaan Israel wujud dan berpusat di Tel Aviv, dan Malaysia mengharamkan rakyatnya kesana seperti tercatat dalam buku pasport kita.
Professor Abdul Aziz Bari turut juga mengaitkan lawatan bersejarah Tun Abdul Razak ke negara China pada 28 Mei 1974 sebagai buti kukuh UMNO adalah komunis sebenar di negara ini. Sebelum saya hurai secara lanjut, mari kita lihat satu senario;

Abu mempunyai dua orang anak, Hasan & Huda nama mereka. Abu berjiran dengan Matthew, pengikut ajaran agama Majusi yang menyembah api serta peniaga yang menjual barangan runcit.

Abu, selalu meluangkan masa bersama jiran dan sahabatnya Matthew. Hasan pula selalu ke kedai Matthew untuk membeli barang. Huda pula ditangkap menyembah api bersama Matthew.

Siapa dalam senario ini telah menjadi pengikut ajaran majusi? Abu, Hasan atau Huda? Hubungan Abu dan Hasan dengan Matthew hanyalah sekadar berkawan dan berdagang. Tidak pula mereka terpengaruh dengan ajaran majusi dan masih lagi beragama Islam. Huda pula, semestinya terpengaruh dengan ajaran majusi.

Begitu juga dengan lawatan Tun Abdul Razak ke China, tak lebih dari lawatan seorang kawan dan peniaga dari Malaysia. Sebelum pergi ke China dan setelah pulangnya Tun Abdul Razak ke Malaysia, negara ini masih lagi mengamalkan demokrasi, membenarkan pelbagai parti wujud, membenarkan rakyatnya beragama dan paling mustahak, masih lagi berperang dengan gerila Parti Komunis Malaya, musuh kepada kerajaan demokrasi berdaulat pilihan rakyat sehinnga tahun 1989, di mana Perjanjian Damai Hadnyai ditandatangani, dan hingga sekarang, Chin Peng tidak dibenarkan memasuki Malaysia. Kata seorang kawan, "kalau UMNO tu Komunis, Chin Peng dah pun ada dalam Malaysia".



Lawatan Tun Razak tidaklah mengejutkan, jika kita lihat pada rekod sejarah.

Richard Nixon, Presiden Amerika Syarikat, melawat China pada tahun 1972.

Georges Pompidou, Presiden Perancis, melawat China pada tahun 1973.

Elizabeth II, Ratu Britain, melawat China pada tahun 1986.

Nicolas Sarkozy, Presiden Perancis, sudah 6 kali melawat China sebagai ketua negara tersebut.

Amerika Syarikat, Britain, & Perancis masih lagi negara kapitalis dan masih lagi negara demokrasi, dan rakyatnya tidak pula menuduh pemimpin mereka sebagai "komunis" hanya dengan lawatan diplomatik yang dibuat oleh pemimpin mereka ke negara Tembok Besar itu.

Professor Abdul Aziz Bari tidak seharusnya mengabaikan hakikat dan fakta bahawa Malaysia telah pun menjadi ahli Non Aligned Movement, atau pertubuhan negara berkecuali pada tahun 1970. Ini menjadikan Malaysia antara negara yang bebas dari pengaruh NATO atau Warsaw Treaty. Dengan pendirian berkecuali inilah, Malaysia menjalankan hubungan diplomatik dengan negara-negara komunis seperti China, Vietnam, dan Cuba.

Lawatan Tun Razak pada tahun 1974 bukanlah untuk mengimport komunisme di Malaysia (kalau perlu, minta sahaja pada Chin Peng) tetapi untuk mengatakan kepada Barat bahawa Malaysia bebas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja yang kita mahu tanpa mengikut telunjuk Barat.


Ini merupakan satu perubahan besar dari persepsi awal dunia kepada Malaysia sebagai entiti imperialis ciptaan Britain untuk menentang komunisme di Asia Tenggara. Ini merupakan pendapat Presiden Soekarno apabila Malaysia ditubuhkan.

Fakta yang saya ketemui dan kesimpulan yang saya dapat sangat jauh sekali dari kesimpulan yang dibuat oleh Professor Abdul Aziz Bari. Jika UMNO benar-benar parti komunis, sudah tidak ada demonstrasi bersih kerana tiada lagi pilihanraya di negara ini.

Hari ini, Malaysia menikmati hasil persahabatan dan perdagangan dengan China, dengan pelbagai pertukaran teknologi, buruh, dan juga import barang yang murah. Itu tidak menjadikan kita sebagai orang komunis bukan? Hari ini, barangan buatan China memenuhi pasaraya di seluruh dunia, dari New York hinggalah ke Dubai.

Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengutuk ugutan yang dibuat terhadap Professor Abdul Aziz Bari.

No comments:

Post a Comment